Monday, September 7, 2015

Axelo 20,000km



Rasanya, belum lama saya guna Axelo ni, tapi sekarang mileagenya dah pun melebihi 65,000km. Ini bermakna saya telah menunggangnya melebihi 20,000km semenjak ia dibeli.

Jarak perjalanan
Suzuki ni memang tahan lasak. Selama 20,00km tu, tak pernah bagi apa-apa masalah besar. Secara routinenya, apa yang saya buat hanyalah tukar minyak enjin tiap bulan, tukar tayar belakang sekali, tukar sprocket sekali dan tukar disk brake sekali (kerana di langgar beberapa minggu lepas). Saya juga telah menukar mentol lampu hadapan sebanyak dua kali. Mungkin ada sedikit masalah pada pendawaian lampu ini kerana kedua-dua kali itu adalah mentol lampu sebelah kanan.

Saya menunggang Axelo ini sejauh 165km setiap hari, lima hari seminggu. Tetapi ada kalanya lebih daripada itu, apabila saya terpaksa mengunjungi beberapa pejabat operasi syarikat saya.

Ia tidak pernah meragam. Adalah sesekali, susah sedikit untuk dihidupkan diwaktu pagi. Itu pun selalunya pada hari Isnin kerana dua hari tidak dihidupkan.

Bunyi rentetan enjin, terutamanya di bahagian timing chain dan tappet, masih sama. Seolah-olah itu memang bunyi standard enjin 125cc Axelo ini. Waktu pagi, lebih senyap, berbanding dengan waktu sebaik sahaja berhenti ditunggang. Bunyi rentetan timing chain agak ketara walaupun tidak sampai ke tahap membimbangkan.

Bunyi ekzos, tiada masalah kerana saya menggunakan ekzos asal.

Masalah utama, ni rasa sedih sedikit………., top speed. Kalau dijalan biasa, top speed sekitar 90km/h je dan di lebuhraya, paling laju pun saya pernah dapat sekitar 112km/j sahaja. Untuk perjalanan harian saya kekalkan kelajuan sekitar 80-100km/h. Walau bagaimanapun, meter kelajuan bukan seperti meter Suzuki FX 110 yang amat ringan. Meter kelajuan Axelo ini hampir sama dengan meter kelajuan kereta.

Secara umumnya, saya amat berpuas hati dengan Suzuki Axelo 125 ini. Walaupun tidak sepantas 135LC, tetapi cukup laju dan kuat untuk memenuhi keperluan saya, berulang alik dari rumah ke pejabat.

#Suzukishogun125 #motorlasak #enjinlasak #jimatminyak #shogun125 #axelo

Thursday, August 20, 2015

Langgar

Beberapa minggu lepas....

Biasalah kalau di KL, cilok kiri dan cilok kanan. Tambahan di Jalan Tun Razak yang sentiasa jem.

Satu masa tu saya tukar lorong dari lorong tengah ke lorong (yang motosikal lalu, antara dua kereta) kanan. Sebelum tukar lorong saya pandang kanan (belakang) dan tak nampak pun sebarang motosikal.

Sebaik saja saya masuk, sebuah motosikal Kriss telah melanggar roda hadapan Shogun saya. Selepas melanggar saya, Mamat tu bulan selamba je. Tak de lah dia nak menoleh kebelakang, apakan lagi nak minta maaf. Tapi, saya terfikir juga, mungkin dia rasa itu salah saya, jadi dia terus laju ke depan dan hilang.......

Pada mulanya saya ingatkan tiada sebarang kerosakan, tetapi selepas beberapa kilometer, saya dapati brek hadapan saya tidak berfungsi.

Saya berhenti dan periksa. Saya dapati ada kesan calar dan bengkok pada brek disk. Selama beberapa minggu saya tidak menggunakan brek hadapan untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk.

Minggu lepas, saya hantar motosikal ke kedai dan membuat pemeriksaan. Mekanik dapati brek disk bengkok dan pad brek juga turut rosak akibat bergeser dengan brek disk yang sudah gelong.

Saya tak ada pilihan melainkan menukar kedua-dua komponen tersebut. Harga brek disk dan brek pad selepas diskaun adalah RM70.

Lepas ditukar, barulah rasa seronok menunggang semula. Kalau tak, rasa macam ada separuh brek je.......

Friday, July 3, 2015

Servis dan Tukar Sprocket

Minggu lepas, tukar minyak enjin macam biasa. Minyak enjin yang saya gunakan pun sama seperti bulan lepas. Castrol Semi Synthetic.

Tapi, kali ini rantai sudah terlalu panjang dan sprocket pun sudah hampir tajam. Saya tukar satu set.

Taukeh kedai beri dua pilihan. Biasa dan RKM. Yang biasa berharga RM45 satu set (sprocket depan, belakang dan rantai). Jenama apa semua barangan itu, saya tidak tahu. Sementara set RKM berharga RM65. Ia dikatakan set original yang digunakan oleh Suzuki.

Memandangkan perjalanan yang jauh dan lasak, saya memilih untuk memasang set RKM. Ia datang dalam satu kotak khas yang mengandungi semua barangan yang berkenaan iaitu 2 sprocket dan satu rantai.

Selepas siap dipasang, saya pun terus balik kerumah.

Keesokan harinya, barulah saya uji sprocket baru tu. Tak ada apa beza dengan sprocket lama. Mungkin betullah kata taukeh kedai tu, memang itu set original dengan ratio asal seperti yang disarankan oleh Suzuki.

Dengan minyak enjin bari dan rantai baru.... pergh..... sernok je bedesup kat highway........

Tuesday, June 2, 2015

Axelo 10,000km



Cepatnya masa berlalu. Sedar-sedar sahaja, sudah 10,000km saya bersama Suzuki Shogun Axelo 125. Hampir keseluruhan jarak itu adalah perjalanan pergi balik ke pejabat.

Setiap hari, perjalanan saya adalah sejauh 165km. Ia mengambil masa lebih kurang 3 jam, sejam setengah pagi dan sejam setengah petang. Itu termasuk masa mengisi minyak dan kadangkala berhenti rehat seketika kerana keletihan.

Secara umumnya, kelajuan tunggangan adalah sekitar 70-110km sejam. Kebanyakannya adalah pada sekitar 90km sejam sahaja kerana pada kelajuan ini, enjin Axelo berputar dengan selesa dan pengendalian juga adalah pada tahap paling berkesan.

Pada waktu pagi (atau petang), enjin Axelo ini mudah dihidupkan. Tidak perlu choke. Sekali tendang sahaja, ia akan hidup. Kalau menggunakan penghidup elektrik, sekali tekan butang penghidup sahaja enjin akan terus hidup.

Pecutan pula, agak sederhana sahaja. Malah, pada pendapat saya, bagi sebuah enjin 125cc, ianya agak lembab dan malas. Tetapi, untuk tujuan berulang-alik ketempat kerja, talaan itu sudah mencukupi. Ia cukup kuat untuk memecut dan memotong lori atau kederaan besar di jalan biasa mahu pun dilebuhraya.

Tork juga sederhana. Kalau di dalam bandaraya Kuala Lumpur, mencilok antara kenderaan selesa dilakukan dengan gear 2 dan 3. Untuk perbandingan, tork Wave 125 adalah lebih baik dan mencilok dengan skuter Nouvo 135LC adalah jauh lebih seronok sementara Elegan 150 jauh lebih laju!

Ketahanan enjin amat baik. Ini adalah kerana, setelah 10,000km pejalanan, keadaan enjin, samada bunyi (rantai talaan, tepet), gegaran dan laian-lain masih sama seperti semasa saya mula menunggangnya dahulu.

Suspension juga masih berfungsi dengan baik walaupun agak lembut.

Semasa membawa penumpang, Axelo ini agak lembab. Tetapi, itu semasa permulaan perjalanan saja. Selepas beberapa minit, masih boleh mencapai kelajuan 90km sejam dengan mudah.

Sepanjang perjalanan sejauh 10,000km ini, tiada sebarang kerosakan besar pada Axelo. Apa yang saya lakukan hanyalah penyelengaraan berkala minima, iaitu menukar minyak enjin dan penapisnya, menukar tayar dan melaras ketegangan rantai.

Secara keseluruhan, walaupun performance tidak berada pada tahap yang sepatutnya pada sebuah enjin 125cc, tetapi enjin amat tahan samada untuk perjalanan dekat mahu pun jauh. Untuk tujuan perjalan ke tempat kerja, Axelo adalah pilihan yang tidak mengecewakan. Tetapi jika ingin melakukan perjalanan jauh, anda kena mengisi petrol dengan kerap kerana tangki petrol hanya boleh memuatkan sekitar 3.5 – 4 liter sahaja.

Perjalanan sehari saya sejauh 165km biasanya memerlukan saya mengisi petrol sebanyak 2 kali. Pagi sebanyak RM4.00 dan petang sebanyak RM4.00 juga. Semasa blog ini di kemaskini harga petrol adalah RM1.95 seliter.

Kepada yang bajet kecil, Axelo adalah pilihan tepat. Ini adalah kerana harga unit terpakai jauh lebih murah dari jenama lain yang sekelas dengannya dan anda akan dapat sebuah kapcai yang cantik dan mampu meberi khidmat kepada anda bertahun-tahun lamanya!

Sunday, May 24, 2015

Tukar Lining Brek Depan

Beberapa hari lepas saya terdengar macam ada bunyi berdesir di roda hadapan. Jadi bila sampai di rumah saya pun periksa. Rupanya lining disk brake depan sudah habis hingga besi lining dan cakera brek bergeser. Untuk beberapa hari saya kurangkan pengunaan brek hadapan. Saya bimbang, bila besi sama besi berlaga, ia akan menjadi terlalu panas dan menyebabkan kerosakan yang teruk.

Dah tak ada pilihan, hari Sabtu saya kekedai untuk menukarkannya dengan yang baru. Saya guna alat ganti original Suzuki. Itu yang saya nampak pada pembungkus alat ganti tersebut. Jika ada berlaku penipuan dalam pembungkusan, saya tidak tahulah pula.

Pada masa yang sama saya juga menukar minyak enjin yang sudah berumur sebulan. Saya pilih Castrol Semi Synthetic juga kerana dengan minyak ini enjin senyap walaupun terpaksa ditambah setiap 4-5 hari (berkurangan mungkin disebabkan keadaan enjin yang kurang baik).

Harga minyak enjin RM30 dan harga lining brek RM15. Jumlah RM45.

Selepas ditukar baru, saya rasa brek hadapan lebih mencengkam dan kelegaannya lebih banyak. Ini memberikan rasa lebih yakin bila membrek.

Bulan depan, mungkin kena tukar tayar pula..........

Tuesday, May 12, 2015

Masih bertahan....

Axelo saya ni memang bekerja keras setiap hari. Secara purata ia terpaksa mengembara sejauh 160km setiap hari.

Pada pemerhatian saya, keadaan enjin masih okay. Cuma, minyak enjin berkurangan dengan agak banyak. Untuk perjalanan selama 5 hari, ia akan susut dari paras penuh hingga ke paras minima.

Bila ini berlaku, saya tiada pilihan melainkan menambahnya hingga tahap penuh semula. Jadi, selain dari memeriksa tayar dan rantai, saya perlu pula memeriksa tahap minyak enjin setiap 3-4 hari. Ini untuk memastikan ia tidak kering. Jika kering..... banyaklah belanjanya nanti!

Enjin tidak pernah menunjukkan tanda-tanda panas lampau. Ia juga tidak semput atau mati. Di lebuhraya saya tunggang pada kelajuan sekitar 80-90km/jam. Sekali-sekala sampai juga ke tahap maksima iaitu hingga 100-110km/jam. Saya berharap ia boleh bertahan buat beberapa bulan lagi.

Beberapa hari lepas, saya ada ke kedai motorsikal. Mereka mengatakan Demak telah pun memasang model kapcai 125cc. Mungkin tidak lama lagi akan mula diedarkan. Ehhhmmmm..... menarik.......

Saturday, May 2, 2015

Ke kedai motorsikal lagi



Dah beberapa kali enjin Shogun ni mati semasa dalam perjalanan. Ini buatkan saya risau. Kalau mati ketika dah sampai pejabat atau sampai di rumah, tiada masalah. Tapi kalau mati semasa dilebuhraya….. dan tidak boleh pula dihidupkan semula……. Masalah besar!

Jadi, beberapa hari lepas saya bawa Shogun tu ke kedai motorsikal.

Selepas di cuba beberapa kali, mekanik itu telah membuat beberapa penyelarasan. Menurutnya, tappet perlu di laras semula. Selepas dilaras, dia mencuba Shogun saya tu beberapa kali sebelum menyerahkannya kembali kepada saya tanpa sebarang bayaran.

Hasilnya, enjin bendentum dengan lebih solid dan stabil. Tidak lagi mati bila dibiarkan melahu. Pada waktu pagi pula, enjin dapatkan dihidupkan dengan lebih mudah. Bila sudah dihidupkan, ia akan terus melahu dan tidak perlu menunggu enjin panas sebelum ia menjadi stabil dan tidak mati.

Cuma ada perbezaan sedikit bila di tunggang.

Semasa memulakan perjalanan, saya rasa lancar dan selesa tetapi tidak “menangkap” seperti sebelumnya. Tetapi tenaga yang dikeluarkan lebih sekata. Ini membuatkan tunggangannya lebih menyeronokkan. Tapi, top speed, saya masih belum cuba. Ini adalah kerana saya belum dapat menunggangnya di lebuhraya.

Saya berharap sangat kelajuan maksima dapat ditingkatkan. Tidaklah nanti saya akan di potong sewenang-wenangnya oleh motorsikal yang lebih kecil seperti Honda EX5.

Kita tungguuuuuuu…………….

Friday, April 24, 2015

Tukar Minyak Enjin dan Penapisnya

Tukar Minyak Enjin dan Penapisnya

Saya ni makan gaji. Jadi banyak perkara berlaku selepas dapat gajilah. Tukar minyak enjin motorsikal pun salah satu aktiviti selepas dapat gaji.

Saya kekedai dimana motorsikal tu saya beli. Kali ini saya pilih minyak enjin jenis Castrol Power 1. Semi
synthetic dengan kepekatan SAE10-40.

Saya fobia sedikit dengan minyak enjin Castrol ni. Bukan apa, banyak peristiwa kerosakan berlaku selepas saya tukar minyak enjin  daripada jenis Castrol. Tetapi, taukeh kedai tu beria-ia benar mengatakan Castrol ni baik. Lagipun, tidak banyak jenama lain yang terdapat disitu. Kali ini juga saya tukar penapis minyak enjin sekali. Saya rasa dah tiba masanya saya berbuat demikian. Minyak enjin dan penapisnya, RM38.00, berbaloi walaupun dengan GST!

Hasilnya…… semasa saya masuk ke gear satu, saya dapati ianya amat mudah dan lembut. Ehmmmm… menarik. Saya terus jalan. Gear seterusnya, lembut dan senyap, walaupun belum beberapa km saya berjalan. Macam bagus je minyak enjin ni…………

Esoknya saya tunggang ke pejabat. Smooth tetapi saya maintain kelajuan sekitar 80-90km/jam. Saya perhati dan dengar dan rasa. Memang smooth dan lancar. Seronok…..

Hari kedua, begitu juga. Tapi, dalam perjalanan balik, saya dapati enjin melahu pada RPM yang amat rendah. Seingat saya, tiada sebarang pelarasan pada kelajuan enjin melahu.

Sampai di rumah, sebaik saja saya berhenti di bawah porch, enjin Axelo saya mati. Wah… kenapa ni?

Saya ambil pemutar skru dan cuba tinggikan sedikit RPM dengan memutar skru penyelarasan tetapi enjin seolah-olah tersemput-semput. Say laras skru angin dengan memberi capuran yang lebih likat. Barulah enjin jadi stabil. Saya laras kembali putaran enjin melahu.

Esoknya saya tunggang kembali ke pejabat. Keadaan bertambah baik.

Yang saya hairan, kenapa pula bila menggunakan minyak semi sintetik, putaran enjin melahu jadi terjejas. Campuran petrol/angin jadi perlu di likatkan. Hairan…. Hairan… hairan….

Saya teringat pada Elegan…. Saya teringat pada Wave 125. Perkara sebegini tidak pernah berlaku pada kedua-dua motorsikal ini pada sepanjang saya menggunakannya…………..

Monday, April 20, 2015

Shogun dah jalan sejauh 5,000km



Dah lebih 5,000km saya tunggang Shogun Axelo 125 ini. Sekarang, ada sedikit perubahan berbanding semasa mula-mula saya beli dulu.

Saya rasa, motorsikal ini walaupun mempunyai batuan yang jauh, tetapi ditunggang tidak laju. Ini adalah kerana, semasa mula-mula dulu, amat susah untuk mencapai kelajuan 90-100km/jam. Seperti kita juga, kalau tak biasa berlari, jangan haraplah nak berlari dengan laju……….

Sekarang, setelah beberapa lama, dengan kelajuan agak tinggi di lebuhraya, barulah saya rasa Shogun ini boleh “berlari”. Walaupun tak lah selaju 135 LC atau Belang 150, tetapi mudahlah untuk mencapai kelajuan standard kapcai-kapcai 125cc iaitu sekitar 90-110km/jam.

Keadaan enjin pula, masih kedengaran dengan jelas rentetan timing chain selepas perjalanan jauh. Cumanya, bunyi ini masih pada kadar yang sama seperti mula-mula saya beli dulu. Ini mungkin bermakna, bunyi itu adalah bunyi biasa saja bagi motorsikal Suzuki ini, dan bukannya disebabkan oleh sebarang kerosakan pada enjinnya.

Penggunaan petrol juga telah saya kenal pasti. Untuk perjalanan sejauh 165km, jumlah petrol yang digunakan adalah sebanyak RM8.00 atau lebih kurang 4.1 liter. Ini bermakna setiap liter saya boleh menunggang sejauh lebih kurang 40km. Ini adalah pada kelajuan sekitar 80-100km/jam di lebuhraya. Ia bukanlah sebuah motorsikal yang super jimat, tetapi kira boleh tahan la…………. Saya menggunakan petrol RON95 dengan ditambah sedikit additive Cosway. Petrol station… macam biasala… pagi saya isi RM4.00 di Petron dan petang saya isi pula sebanyak RM4.00 lagi di Petronas.



Sunday, April 12, 2015

Minyak Enjin dan Tayar

Minggu lepas, saya ke kedai motorsikal untuk menukar minyak enjin Axelo. Saya pilih minyak keluaran Yamaha dengan spesifikasi SAE 20/50. Kalau ikut spesifikasi itu, minyak ini memang agak pekat dan ianya biasa digunakan pada enjin-enjin sejukan udara sperti Lagenda 110 dan lagenda 115.

Cuma saya agak terkejut sedikit sebab dia tidak tahu dimana letaknya sekeru tempat mengeluarkan minyak enjin. Kemudian, bila dia menghabiskan keseluruhan kandungan botol satu liter. Ini bermakna dia mengisi sebanyak satu liter sedangkan di bahagian tutup jelas dilabelkan jumlah minyak enjin adalah sebanyak 800ml sahaja. Ini menunjukkan dengan jelas sekali, dia tiada pengalaman dengan Shogun Axelo ini.

Minyak SAE 20/50 ini membuatkan enjin Axelo menjadi lebih senyap, tetapi kandungan yang terlalu banyak menyebabkan ada asap yang keluar dari ekzos dari semasa ke semasa.

Saya harap, enjin tidak akan menghadapi apa-apa masalah. Saya akan perhatikan sepanjang perjalanan. Jika ada tanda-tanda masalah akan timbul, saya akan kurangkan minyak enjin itu kemudian.

Saya juga menukar tayar belakang beberapa hari kemudian. Saya kekalkan saiz asal iaitu 80/90 cuma saya guna jenama yang lebih murah ialatu Viva. Setelah beberapa hari perjalanan, saya dapati tayar ini agak baik, selesa digunakan dan tidak musah haus. Perjalanan diwaktu hujan lebat juga selesa dan tidak menunjukkan apa-apa masalah gelinciran.

Thursday, March 26, 2015

Kestabilan pada kelajuan maksima

Dah beberapa kali saya mencuba Axelo ini hingga kelajuan maksima. Pada keadaan jalan rata, top speed cuma dapat sekitar 110km/j saja. Average sekitar 100km/j saja. Tetapi memandangkan meter kelajuan agak tepat, saya rasa kelajuan itu agak munasabah bagi model kapcai 125cc.

Tapi saya agak kecewa sedikit kerana kestabilan agak kurang baik pada kelajuan tersebut. ini amat berlainan berbanding jenama lain, contohnya Nouvo LC yang pada pendapat saya jauh lebih seronok ditunggang pada kelajuan yang sama. Skuter Elegan pun lebih mantap pada kelajuan yang sama.

Cuma, saya tidak berapa pasti samada, ini adalah karektor setiap model Axelo ini, atau hanya pada motosikal saya yang ternyata telah dimakan usia. Harap ada kawan-kawan diluar sana boleh memberi kepastian.

Bolehkah keadaan ini diperbaiki? Mungkin dengan menukar tayar yang lebih baik atau lebih lebar. Buat masa ini, saya menggunakan tayar saiz 80/90 di belakang dan 70/90 di hadapan dari jenama Duro. Atau mungkinkah absorber saya yang sudah mula bermasalah? Absorber depan dan belakang Axelo saya memang terasa agak lembut.

Ehm.... agaknya, boleh ke Axelo ini menggunakan performance part seperti yang banyak didapati bagi model Belang.




Monday, March 16, 2015

Tuning

Saya memang rasa tak puas hati dengan performance Axelo 125 ni. Rasa macam ada yang tak kena. Pickup hancus, top speed pun lambat dapat.

Ahad lepas, cam biasa, dengan screw driver je, godek-godek carburator tu. Saya dapati setting agak ganjil. Screw angin tidak terbuka. Sebab tu, enjin lembab dan banyak carbon. Tak cukup angin......

Jadi saya pun buat pelarasan standard. Kunci screw tu sampai ketat, dan kemudian pusing sehingga satu setengah pusingan. Start enjin dan biarkan hingga panas.

Hasilnya, enjin lebih responsive. Bila di rev, enjin rasa lebih smooth dan tidak seperti terdesak.

Hari ni, saya ride ke pejabat. Enjin susah sedikit untuk dihidupkan. Perlu sedikit choke. Tetapi bila mula berjalan, lebih segar dan responsive.

Kat highway, mudah je dapat 90km/h. Pada kelajuan 100km/h pun rasa lebih selesa. Enjin rasa relak dan tidak terpaksa. Top speed..... tak jauh beza tapi lebih mudah sampai 110km/h. Secara keseluruhan, lebih seronok menunggang Axelo ni.

Jadi, sahlah..... memang tuning carburator tak tepat. Mudah start, boleh jalan tetapi tidak smooth dan penggunaan petrol tinggi. Bila dah dilaras pada pelarasan standard, lebih bagus......... yessssss...!

Tak sabar nak ride balik petang ni nanti.............


Monday, March 9, 2015

Semakin Matang

Seronok juga menunggang Axelo 125 ini. Tapi, kalau pada saya, motor apa pun seronok ditunggang!

Secara umumnya, tiada masalah untuk berulang sekitar 150km sehari dengan Axelo ini. Selesa, dan jimat. memang tidak seselesa menaiki skuter, tetapi cukup memadai bagi sebuah kapcai kecil.

Pick-up Axelo memang tidak memberangsangkan. Bolehlah dikatakan lembab. Tetapi, di lebuhraya kelajuan yang selesa ditunggang ilaha sekitar 90km/h. Tapi kalau pulas habis, dapatlah sekitar 110km/h. Rasanya, kalau di tune dengan baik, kelajuan maksima sekitar 130-140km/h barulah berpadan dengan enjin 125cc nya itu.

Kestabilan boleh dikatakan baik. Tak pernah lagi Exelo ni terhuyung-hayang bila memotong lori atau bas, atau dikawasan angin lintang. Absorber depan dan belakang terasa lembut, tapi kira berpatutanlah pada sebuah kapcai serba standard.

Penggunaan petrol memang jimat. tak banyak beza dari EX5. Cuma, tangki petrol terlalu kecil. kalau ikut spesifikasi, muatan petrol maksima adalah sebanyak 4.1 litres. Kalau berulang ketempat kerja, memang memadai, tetapi kalau jalan jauh, kenalah berhenti isi petrol tiap 90-120km.

Ada satu yang agak membanggakan, iaitu, ianya amat senang untuk dihidupkan. Tak perlu tarik choke atau menendang dengan ganas. Tendanagan perlahan sudah memadai untuk menghidupkannya diwaktu pagi. Itu kalau guna kick-starter. Kalau lebih mudah, guna je electric starter!

Ada sedikit bunyi kurang enak pada enjin. Saya rasa timing chain sudah sampai masa untuk ditukar. Tunggulah, mungkin hujung bulan ini.....


Thursday, February 12, 2015

Hari Pertama

Nak kemana? Ke pejabat lah.......

Saya dah lama juga naik komuter ke pejabat, tapi boring lah. lama sangat waktu perjalanan...... Jadi, sebaik saja dapat bawa balik Axelo tuh, saya terus tunggang ke pejabat keesokan harinya.

Hari Rabu, 11/02/2015. Saya tak berani nak bawa laju, jadi sepanjang jalan cuma bawa sekitar 80km/j saja. Motor tu tak perlu run-in tapi, saya tak kenal lagi Axelo tu, kena bawa perlahan dulu.

Semuanya okay. Axelo ni agak malas sedikit bila berlepas. Gear pertama agak panjang, begitu juga gear dua dan gear tiga. Sehingga gear keempat, masih terasa agak malas. Kalau nak sedap, kena lenjan hingga RPM naik agak tinggi. Tapi, seronok juga layan....

Secara keseluruhan, Axelo ni okay walau pun beli terpakai. Tapi, enjin tidaklah seperti baru. Ada kedengaran sedikit bunyi timing chain atau mungkin tepetnya. Tapi tidaklah sampai mengganggu tunggangan.

Absorber lembut membuatkan bila terlanggar lobang kecil atau jalan tak berapa rata, ia tidak terasa hingga ke punggung. tetapi gegaran pada handle bar agak kuat. Lepas tunggangan selama sejam, tangan hampir kebas. Tapi, saya rasa masih dalam kategori tidak mengganggu tunggangan. kalau nak elak kebas tangan, kenalah lepaskan handle bar buat seketika dari semasa ke semasa.

Tahu-tahu dah sampai pejabat. Hanya satu jam setengah je..... berbanding dengan dua setengah jam jika naik komuter dan LRT..........

Tuesday, February 10, 2015

Salam perkenalan!

Pengalaman tidak berapa manis dengan FX110 membuatkan saya kurang yakin dengan kapcai Suzuki. Banyak makan duit FX110 tu tahun-tahun kebelakangan ni.

Tapi, hari ni (Selasa 10/02/2015) saya bawa balik sebuah Suzuki Shogun Axelo 125. Nak cuba lagi dengan motosikal Suzuki ni. Bukan apa, bajet terhad, tapi perjalanan jauh. harap-harap Axelo ni akan dapat membantu. Dengan harga belian yang lebih berpatutan, Suzuki adalah pilihan yang lebih baik untuk tujuan berulang ke tempat kerja.

Lama dah saya tak naik motosikal ke pejabat. Naik komuter je. tapu setelah beberapa bulan, rasa tak berapa seronok. Memang rehat, tapi masa perjalanan terlalu lama. lagi pula, terpaksa selepas turun komuter terpaksa pula naik LRT. Pergh...... bayangkan, untuk sampai ke pejabat, perlukan masa sekitar dua setengah jam. Maknanya, perjalanan sahaja, pergi dan balik, hampir 6 jam setiap hari.

Sebab tu, saya usahakan semula sebuah motosikal. harap-harap lebih pendek masa perjalanan dan yang lebih penting, lebih seronok!

Suzuki Shogun Axelo 125
Motosikal tu adalah model terpakai dengan batuan sebanyak 46,793km. Keadaan enjin agak baik walaupun saya rasakan enjin agak kurang berkuasa. Lepas ambil motosikal tu di kedai, saya terus menunggangnya sekitar bandar bersama isteri saya. Enjin rasa smooth, dan suspension agak lembut. saya rasa absorber depan telah kekurangan minyak dan absorber belakang telah jadi terlalu lembut.

Tapi, buat masa ini, saya akan tunggang dulu untuk beberapa hari. Tengok dulu keadaan keseluruhannya. kalau perlu, saya akan bawa balik ke kedai untuk diperbaiki.

Tak sabar untuk menunggangnya ke pejabat esok......(lebih tepat... pagi nanti).............