Friday, July 3, 2015

Servis dan Tukar Sprocket

Minggu lepas, tukar minyak enjin macam biasa. Minyak enjin yang saya gunakan pun sama seperti bulan lepas. Castrol Semi Synthetic.

Tapi, kali ini rantai sudah terlalu panjang dan sprocket pun sudah hampir tajam. Saya tukar satu set.

Taukeh kedai beri dua pilihan. Biasa dan RKM. Yang biasa berharga RM45 satu set (sprocket depan, belakang dan rantai). Jenama apa semua barangan itu, saya tidak tahu. Sementara set RKM berharga RM65. Ia dikatakan set original yang digunakan oleh Suzuki.

Memandangkan perjalanan yang jauh dan lasak, saya memilih untuk memasang set RKM. Ia datang dalam satu kotak khas yang mengandungi semua barangan yang berkenaan iaitu 2 sprocket dan satu rantai.

Selepas siap dipasang, saya pun terus balik kerumah.

Keesokan harinya, barulah saya uji sprocket baru tu. Tak ada apa beza dengan sprocket lama. Mungkin betullah kata taukeh kedai tu, memang itu set original dengan ratio asal seperti yang disarankan oleh Suzuki.

Dengan minyak enjin bari dan rantai baru.... pergh..... sernok je bedesup kat highway........

Tuesday, June 2, 2015

Axelo 10,000km



Cepatnya masa berlalu. Sedar-sedar sahaja, sudah 10,000km saya bersama Suzuki Shogun Axelo 125. Hampir keseluruhan jarak itu adalah perjalanan pergi balik ke pejabat.

Setiap hari, perjalanan saya adalah sejauh 165km. Ia mengambil masa lebih kurang 3 jam, sejam setengah pagi dan sejam setengah petang. Itu termasuk masa mengisi minyak dan kadangkala berhenti rehat seketika kerana keletihan.

Secara umumnya, kelajuan tunggangan adalah sekitar 70-110km sejam. Kebanyakannya adalah pada sekitar 90km sejam sahaja kerana pada kelajuan ini, enjin Axelo berputar dengan selesa dan pengendalian juga adalah pada tahap paling berkesan.

Pada waktu pagi (atau petang), enjin Axelo ini mudah dihidupkan. Tidak perlu choke. Sekali tendang sahaja, ia akan hidup. Kalau menggunakan penghidup elektrik, sekali tekan butang penghidup sahaja enjin akan terus hidup.

Pecutan pula, agak sederhana sahaja. Malah, pada pendapat saya, bagi sebuah enjin 125cc, ianya agak lembab dan malas. Tetapi, untuk tujuan berulang-alik ketempat kerja, talaan itu sudah mencukupi. Ia cukup kuat untuk memecut dan memotong lori atau kederaan besar di jalan biasa mahu pun dilebuhraya.

Tork juga sederhana. Kalau di dalam bandaraya Kuala Lumpur, mencilok antara kenderaan selesa dilakukan dengan gear 2 dan 3. Untuk perbandingan, tork Wave 125 adalah lebih baik dan mencilok dengan skuter Nouvo 135LC adalah jauh lebih seronok sementara Elegan 150 jauh lebih laju!

Ketahanan enjin amat baik. Ini adalah kerana, setelah 10,000km pejalanan, keadaan enjin, samada bunyi (rantai talaan, tepet), gegaran dan laian-lain masih sama seperti semasa saya mula menunggangnya dahulu.

Suspension juga masih berfungsi dengan baik walaupun agak lembut.

Semasa membawa penumpang, Axelo ini agak lembab. Tetapi, itu semasa permulaan perjalanan saja. Selepas beberapa minit, masih boleh mencapai kelajuan 90km sejam dengan mudah.

Sepanjang perjalanan sejauh 10,000km ini, tiada sebarang kerosakan besar pada Axelo. Apa yang saya lakukan hanyalah penyelengaraan berkala minima, iaitu menukar minyak enjin dan penapisnya, menukar tayar dan melaras ketegangan rantai.

Secara keseluruhan, walaupun performance tidak berada pada tahap yang sepatutnya pada sebuah enjin 125cc, tetapi enjin amat tahan samada untuk perjalanan dekat mahu pun jauh. Untuk tujuan perjalan ke tempat kerja, Axelo adalah pilihan yang tidak mengecewakan. Tetapi jika ingin melakukan perjalanan jauh, anda kena mengisi petrol dengan kerap kerana tangki petrol hanya boleh memuatkan sekitar 3.5 – 4 liter sahaja.

Perjalanan sehari saya sejauh 165km biasanya memerlukan saya mengisi petrol sebanyak 2 kali. Pagi sebanyak RM4.00 dan petang sebanyak RM4.00 juga. Semasa blog ini di kemaskini harga petrol adalah RM1.95 seliter.

Kepada yang bajet kecil, Axelo adalah pilihan tepat. Ini adalah kerana harga unit terpakai jauh lebih murah dari jenama lain yang sekelas dengannya dan anda akan dapat sebuah kapcai yang cantik dan mampu meberi khidmat kepada anda bertahun-tahun lamanya!

Sunday, May 24, 2015

Tukar Lining Brek Depan

Beberapa hari lepas saya terdengar macam ada bunyi berdesir di roda hadapan. Jadi bila sampai di rumah saya pun periksa. Rupanya lining disk brake depan sudah habis hingga besi lining dan cakera brek bergeser. Untuk beberapa hari saya kurangkan pengunaan brek hadapan. Saya bimbang, bila besi sama besi berlaga, ia akan menjadi terlalu panas dan menyebabkan kerosakan yang teruk.

Dah tak ada pilihan, hari Sabtu saya kekedai untuk menukarkannya dengan yang baru. Saya guna alat ganti original Suzuki. Itu yang saya nampak pada pembungkus alat ganti tersebut. Jika ada berlaku penipuan dalam pembungkusan, saya tidak tahulah pula.

Pada masa yang sama saya juga menukar minyak enjin yang sudah berumur sebulan. Saya pilih Castrol Semi Synthetic juga kerana dengan minyak ini enjin senyap walaupun terpaksa ditambah setiap 4-5 hari (berkurangan mungkin disebabkan keadaan enjin yang kurang baik).

Harga minyak enjin RM30 dan harga lining brek RM15. Jumlah RM45.

Selepas ditukar baru, saya rasa brek hadapan lebih mencengkam dan kelegaannya lebih banyak. Ini memberikan rasa lebih yakin bila membrek.

Bulan depan, mungkin kena tukar tayar pula..........

Tuesday, May 12, 2015

Masih bertahan....

Axelo saya ni memang bekerja keras setiap hari. Secara purata ia terpaksa mengembara sejauh 160km setiap hari.

Pada pemerhatian saya, keadaan enjin masih okay. Cuma, minyak enjin berkurangan dengan agak banyak. Untuk perjalanan selama 5 hari, ia akan susut dari paras penuh hingga ke paras minima.

Bila ini berlaku, saya tiada pilihan melainkan menambahnya hingga tahap penuh semula. Jadi, selain dari memeriksa tayar dan rantai, saya perlu pula memeriksa tahap minyak enjin setiap 3-4 hari. Ini untuk memastikan ia tidak kering. Jika kering..... banyaklah belanjanya nanti!

Enjin tidak pernah menunjukkan tanda-tanda panas lampau. Ia juga tidak semput atau mati. Di lebuhraya saya tunggang pada kelajuan sekitar 80-90km/jam. Sekali-sekala sampai juga ke tahap maksima iaitu hingga 100-110km/jam. Saya berharap ia boleh bertahan buat beberapa bulan lagi.

Beberapa hari lepas, saya ada ke kedai motorsikal. Mereka mengatakan Demak telah pun memasang model kapcai 125cc. Mungkin tidak lama lagi akan mula diedarkan. Ehhhmmmm..... menarik.......

Saturday, May 2, 2015

Ke kedai motorsikal lagi



Dah beberapa kali enjin Shogun ni mati semasa dalam perjalanan. Ini buatkan saya risau. Kalau mati ketika dah sampai pejabat atau sampai di rumah, tiada masalah. Tapi kalau mati semasa dilebuhraya….. dan tidak boleh pula dihidupkan semula……. Masalah besar!

Jadi, beberapa hari lepas saya bawa Shogun tu ke kedai motorsikal.

Selepas di cuba beberapa kali, mekanik itu telah membuat beberapa penyelarasan. Menurutnya, tappet perlu di laras semula. Selepas dilaras, dia mencuba Shogun saya tu beberapa kali sebelum menyerahkannya kembali kepada saya tanpa sebarang bayaran.

Hasilnya, enjin bendentum dengan lebih solid dan stabil. Tidak lagi mati bila dibiarkan melahu. Pada waktu pagi pula, enjin dapatkan dihidupkan dengan lebih mudah. Bila sudah dihidupkan, ia akan terus melahu dan tidak perlu menunggu enjin panas sebelum ia menjadi stabil dan tidak mati.

Cuma ada perbezaan sedikit bila di tunggang.

Semasa memulakan perjalanan, saya rasa lancar dan selesa tetapi tidak “menangkap” seperti sebelumnya. Tetapi tenaga yang dikeluarkan lebih sekata. Ini membuatkan tunggangannya lebih menyeronokkan. Tapi, top speed, saya masih belum cuba. Ini adalah kerana saya belum dapat menunggangnya di lebuhraya.

Saya berharap sangat kelajuan maksima dapat ditingkatkan. Tidaklah nanti saya akan di potong sewenang-wenangnya oleh motorsikal yang lebih kecil seperti Honda EX5.

Kita tungguuuuuuu…………….

Friday, April 24, 2015

Tukar Minyak Enjin dan Penapisnya

Tukar Minyak Enjin dan Penapisnya

Saya ni makan gaji. Jadi banyak perkara berlaku selepas dapat gajilah. Tukar minyak enjin motorsikal pun salah satu aktiviti selepas dapat gaji.

Saya kekedai dimana motorsikal tu saya beli. Kali ini saya pilih minyak enjin jenis Castrol Power 1. Semi
synthetic dengan kepekatan SAE10-40.

Saya fobia sedikit dengan minyak enjin Castrol ni. Bukan apa, banyak peristiwa kerosakan berlaku selepas saya tukar minyak enjin  daripada jenis Castrol. Tetapi, taukeh kedai tu beria-ia benar mengatakan Castrol ni baik. Lagipun, tidak banyak jenama lain yang terdapat disitu. Kali ini juga saya tukar penapis minyak enjin sekali. Saya rasa dah tiba masanya saya berbuat demikian. Minyak enjin dan penapisnya, RM38.00, berbaloi walaupun dengan GST!

Hasilnya…… semasa saya masuk ke gear satu, saya dapati ianya amat mudah dan lembut. Ehmmmm… menarik. Saya terus jalan. Gear seterusnya, lembut dan senyap, walaupun belum beberapa km saya berjalan. Macam bagus je minyak enjin ni…………

Esoknya saya tunggang ke pejabat. Smooth tetapi saya maintain kelajuan sekitar 80-90km/jam. Saya perhati dan dengar dan rasa. Memang smooth dan lancar. Seronok…..

Hari kedua, begitu juga. Tapi, dalam perjalanan balik, saya dapati enjin melahu pada RPM yang amat rendah. Seingat saya, tiada sebarang pelarasan pada kelajuan enjin melahu.

Sampai di rumah, sebaik saja saya berhenti di bawah porch, enjin Axelo saya mati. Wah… kenapa ni?

Saya ambil pemutar skru dan cuba tinggikan sedikit RPM dengan memutar skru penyelarasan tetapi enjin seolah-olah tersemput-semput. Say laras skru angin dengan memberi capuran yang lebih likat. Barulah enjin jadi stabil. Saya laras kembali putaran enjin melahu.

Esoknya saya tunggang kembali ke pejabat. Keadaan bertambah baik.

Yang saya hairan, kenapa pula bila menggunakan minyak semi sintetik, putaran enjin melahu jadi terjejas. Campuran petrol/angin jadi perlu di likatkan. Hairan…. Hairan… hairan….

Saya teringat pada Elegan…. Saya teringat pada Wave 125. Perkara sebegini tidak pernah berlaku pada kedua-dua motorsikal ini pada sepanjang saya menggunakannya…………..

Monday, April 20, 2015

Shogun dah jalan sejauh 5,000km



Dah lebih 5,000km saya tunggang Shogun Axelo 125 ini. Sekarang, ada sedikit perubahan berbanding semasa mula-mula saya beli dulu.

Saya rasa, motorsikal ini walaupun mempunyai batuan yang jauh, tetapi ditunggang tidak laju. Ini adalah kerana, semasa mula-mula dulu, amat susah untuk mencapai kelajuan 90-100km/jam. Seperti kita juga, kalau tak biasa berlari, jangan haraplah nak berlari dengan laju……….

Sekarang, setelah beberapa lama, dengan kelajuan agak tinggi di lebuhraya, barulah saya rasa Shogun ini boleh “berlari”. Walaupun tak lah selaju 135 LC atau Belang 150, tetapi mudahlah untuk mencapai kelajuan standard kapcai-kapcai 125cc iaitu sekitar 90-110km/jam.

Keadaan enjin pula, masih kedengaran dengan jelas rentetan timing chain selepas perjalanan jauh. Cumanya, bunyi ini masih pada kadar yang sama seperti mula-mula saya beli dulu. Ini mungkin bermakna, bunyi itu adalah bunyi biasa saja bagi motorsikal Suzuki ini, dan bukannya disebabkan oleh sebarang kerosakan pada enjinnya.

Penggunaan petrol juga telah saya kenal pasti. Untuk perjalanan sejauh 165km, jumlah petrol yang digunakan adalah sebanyak RM8.00 atau lebih kurang 4.1 liter. Ini bermakna setiap liter saya boleh menunggang sejauh lebih kurang 40km. Ini adalah pada kelajuan sekitar 80-100km/jam di lebuhraya. Ia bukanlah sebuah motorsikal yang super jimat, tetapi kira boleh tahan la…………. Saya menggunakan petrol RON95 dengan ditambah sedikit additive Cosway. Petrol station… macam biasala… pagi saya isi RM4.00 di Petron dan petang saya isi pula sebanyak RM4.00 lagi di Petronas.