Tuesday, June 2, 2015

Axelo 10,000km



Cepatnya masa berlalu. Sedar-sedar sahaja, sudah 10,000km saya bersama Suzuki Shogun Axelo 125. Hampir keseluruhan jarak itu adalah perjalanan pergi balik ke pejabat.

Setiap hari, perjalanan saya adalah sejauh 165km. Ia mengambil masa lebih kurang 3 jam, sejam setengah pagi dan sejam setengah petang. Itu termasuk masa mengisi minyak dan kadangkala berhenti rehat seketika kerana keletihan.

Secara umumnya, kelajuan tunggangan adalah sekitar 70-110km sejam. Kebanyakannya adalah pada sekitar 90km sejam sahaja kerana pada kelajuan ini, enjin Axelo berputar dengan selesa dan pengendalian juga adalah pada tahap paling berkesan.

Pada waktu pagi (atau petang), enjin Axelo ini mudah dihidupkan. Tidak perlu choke. Sekali tendang sahaja, ia akan hidup. Kalau menggunakan penghidup elektrik, sekali tekan butang penghidup sahaja enjin akan terus hidup.

Pecutan pula, agak sederhana sahaja. Malah, pada pendapat saya, bagi sebuah enjin 125cc, ianya agak lembab dan malas. Tetapi, untuk tujuan berulang-alik ketempat kerja, talaan itu sudah mencukupi. Ia cukup kuat untuk memecut dan memotong lori atau kederaan besar di jalan biasa mahu pun dilebuhraya.

Tork juga sederhana. Kalau di dalam bandaraya Kuala Lumpur, mencilok antara kenderaan selesa dilakukan dengan gear 2 dan 3. Untuk perbandingan, tork Wave 125 adalah lebih baik dan mencilok dengan skuter Nouvo 135LC adalah jauh lebih seronok sementara Elegan 150 jauh lebih laju!

Ketahanan enjin amat baik. Ini adalah kerana, setelah 10,000km pejalanan, keadaan enjin, samada bunyi (rantai talaan, tepet), gegaran dan laian-lain masih sama seperti semasa saya mula menunggangnya dahulu.

Suspension juga masih berfungsi dengan baik walaupun agak lembut.

Semasa membawa penumpang, Axelo ini agak lembab. Tetapi, itu semasa permulaan perjalanan saja. Selepas beberapa minit, masih boleh mencapai kelajuan 90km sejam dengan mudah.

Sepanjang perjalanan sejauh 10,000km ini, tiada sebarang kerosakan besar pada Axelo. Apa yang saya lakukan hanyalah penyelengaraan berkala minima, iaitu menukar minyak enjin dan penapisnya, menukar tayar dan melaras ketegangan rantai.

Secara keseluruhan, walaupun performance tidak berada pada tahap yang sepatutnya pada sebuah enjin 125cc, tetapi enjin amat tahan samada untuk perjalanan dekat mahu pun jauh. Untuk tujuan perjalan ke tempat kerja, Axelo adalah pilihan yang tidak mengecewakan. Tetapi jika ingin melakukan perjalanan jauh, anda kena mengisi petrol dengan kerap kerana tangki petrol hanya boleh memuatkan sekitar 3.5 – 4 liter sahaja.

Perjalanan sehari saya sejauh 165km biasanya memerlukan saya mengisi petrol sebanyak 2 kali. Pagi sebanyak RM4.00 dan petang sebanyak RM4.00 juga. Semasa blog ini di kemaskini harga petrol adalah RM1.95 seliter.

Kepada yang bajet kecil, Axelo adalah pilihan tepat. Ini adalah kerana harga unit terpakai jauh lebih murah dari jenama lain yang sekelas dengannya dan anda akan dapat sebuah kapcai yang cantik dan mampu meberi khidmat kepada anda bertahun-tahun lamanya!